Selamat Datang

Selamat datang di website SimpulDemokrasi. Dalam Situs ini anda dapat menyimak informasi-informasi terbaru tentang Demokrasi di Indonesia. Selain itu komentar, opini maupun analisis tentang topik demokrasi dan penguatan simpul demokrasi juga dapat anda simak, termasuk info-info aktual terkait topik demokrasi negeri ini. Anda bisa berpartisipasi menyemarakkannya disini.
Google

Sabtu, 29 September 2007

Hak demokratik dan ‘hudud’


Soal ‘padang tidak sama rata’ dan hubungannya dengan PAS, harap janganlah mengulang-ulang hujah sedemikian dengan saya. Tulisan seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Ahli PAS Bangsar’ (APB) dalam suratnya ‘Tulisan Fathi Dijawab’ (Malaysiakini.com, 14 April 2005) dirujuk.

Selain muak, saya telah berkali-kali menulis di kolum ini dan beberapa penerbitan lain sejak bertahun-tahun yang lalu. Saya sendiri tidak faham kenapa parti Islam ini, dan rakan-rakannya dalam Barisan Alternatif, ‘tidak serius’ dengan persoalan ini – usaha-usaha membesarkan ruang demokrasi tetapi tanpa sepenuhnya disedari, mereka turut menganut nilai-nilai dan amalan – amalan tidak demokratik.Malah, saya sendiri bingung kenapa PAS (atau aktivis Islam) sendiri menghayati budaya buruk tidak demokratik itu, ingin menyekat orang lain daripada bersuara. Sedangkan tidakkah pada asalnya mereka turut menentang realiti buruk ‘padang permainan yang tidak sama rata’ itu?

Misalnya, kenapa susah bagi mereka menulis jawapan, atau memberi penjelasan, dengan tenaga dukungan hampir 500,000 ahli dan penyokong di serata negara? Sudah terlalu sering saya bersuara di sini sehingga tidak wajarlah saya mengulang-ulangkan lagi hal ini di sini. FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. ‘Tiada Noktah’ cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, buku, penerbitan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di faomar@yahoo.com.

Elok juga jika rencana-rencana di kolum saya itu, (jika mahu) buku terbaru saya Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Februari 2005) dilihat kembali kerana kelihatan APB tidak mengikut semuanya dengan baik – dan membuat pertanyaan terhadap isu-isu ‘lama’ yang saya sendiri sudah mengulasnya atau pernah mempertanyakannya.

Seharusnya sebagai anggota PAS, penulis surat ini bertanya kepada partinya sendiri – kenapa langkah-langkah ke arah membesarkan ruang demokrasi tidak serius ditanggapi parti Islam tetapi kelihatan lebih sibuk menjaga ‘tepi kain orang lain’ (kata orang Melayu). Apakah PAS berharap mendapat manfaat tertentu di sebalik ‘kain’ itu?

Tidak pernah serius
Isu kebebasan akhbar, kebebasan berceramah, kebebasan akademik, kebebasan kreatif dan mereformasikan pilihanraya (agar bebas dan adil) tidak pernah serius dan tekal (consistent) diperjuangkan mereka. Semua isu ini telah saya sentuh melalui kolum ini dan (mungkin) tidak keterlaluan jika bidang garapan isu-isu saya di sini jauh lebih melebar (tetapi tidak mestinya mendalam atau bernas) daripada PAS yang besar dan berpengaruh itu!
Jawatankuasa Monitor Media (JMM) yang menganjurkan boikot kepada beberapa media arus perdana pada 2000 tidak mendapat dukungan rasmi BA. Ia diusahakan, dengan penuh ketabahan, oleh Rustam A Sani (penulis dan orang kuat PRM) dan kartunis Zunar – inilah hakikatnya yang saya sangat tahu tetapi sengaja tidak mahu mengulang-ulangkannya.
Begitu juga kedudukan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) dan jurucakapnya Ahmad Lutfi Othman di mata parti-parti pembangkang. Kami tahu, waktu itu ketua pembangkang merupakan presiden PAS, Fadzil Noor (almarhum). Wah, Kami mengalami hal yang sulit (sangat payah) untuk menyedarkan betapa pentingnya hal ini.

Malah, pernah dalam satu diskusi tertutup, seorang naib presiden PAS (saya enggan menyebut namanya) melihat suasana demokrasi ‘baru’ di Indonesia (termasuk kebebasan akhbar) selepas kejatuhan Soeharto pada Mei, 1998 boleh menggalakkan pornografi! Apakah begini caranya persoalan demokrasi dan kebebasan vis-à-vis reformasi di Indonesia dilihat oleh orang teratas dalam kepimpinan PAS? Sungguh dangkal dan memalukan!
Begitu juga ketika Harakah dikurangkan kekerapannya dan ketua pengarangnya Zulkifli Sulong dibawa ke mahkamah, kita tahu betapa tidak seriusnya PAS melihat isu ini. Tidak jauh bezanya ‘perlawanan’ PAS yang ‘hangat-hangat tahi ayam’ apabila dilarang berceramah (tanpa sebab logik dan munasabah) mulai Julai 2001. Hanya sebulan dua sahaja penentangan itu dibuat di satu dua negeri. Kemudian, PAS menerima ‘padang permainan yang tidak sama rata’ itu, ‘tewas’ dan tidak sungguh-sungguh membawa isu ini lagi.
Begitulah juga sikap PAS terhadap royalti minyak di Terengganu. Susah sekali mahu mengajak parti ini menganjurkan acara-acara lain (maksudnya, kempen yang lebih serius dan berpanjangan), misalnya demonstrasi (kecuali menjelang pilihanraya kecil Lunas akhir 2000), kecuali solat hajat, berceramah dan kemudiannya ke mahkamah.

‘Kemelut media’
Lihat juga sikap parti-parti pembangkang, termasuk PAS, terhadap isu Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang terkenal kepada Mohamad Ezam Mohd Nor pada 2002. Isu ini tenggelam arah dan kempennya tidak pernah meluas. Dalam pakatan pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO), kita bersama mendirikan ‘Gerakan Mansuhkan ISA’ (GMI) tetapi kenapa ISA, atau undang-undang seumpamanya, mahu dikenakan ke atas 50 NGO dan lebih 200 anggota seperti disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub?

Tidakkah ini sejenis budaya anti-demokratik yang asalnya dimulakan dan berkembang biak di bawah pemerintahan Barisan Nasional dan Umno? Kenapa, misalnya, sulit bagi Dr Haron Din dan Abdul Ghani Shamsuddin menjawab (secara tenang dan meyakinkan) beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Farish A Noor tahun lalu? Kenapa mereka cenderung membataskan kolumnis ini dan menjawabnya dengan ‘nada serangan’ (peribadi)?
Banyak juga isu dalaman yang saya tahu tentang PAS tetapi tidak tergamak saya siarkan secara terbuka, perinci dan terus terang di sini kerana jauh ‘lebih memalukan’. Lalu, saya menulis secara umum sahaja. Kenapa saya ‘gagal’ berterus-terang, saya telah jelaskan di kolum ini beberapa tahun lepas dan melalui buku saya itu Patah Balek, bab ‘Kemelut media’ (khususnya muka surat 75-86).

Sebagai seorang individu, tidak mungkinlah saya mengulas semua perkara. Penulis kolum ada keterbatasannya sendiri. Tetapi dari segi prinsipnya, dalam persoalan hudud, saya mendukung hak demokratik PAS menjalankan undang-undang itu di negeri bawah pentadbirannya. ‘Hak demokratik’ di sini maknanya penguasaan ke atas dua negeri itu diperolehi melalui pilihanraya umum dan pelaksanaan hudud telah disebut dalam manifestonya. Jadi, bolehlah diandaikan rakyat negeri itu, misalnya Terengganu, bersedia dengan hudud ketika memilih PAS pada 1999.
Tetapi menjadi hak demokratik juga untuk seseorang warga membantahnya (pelaksanaan hudud) walaupun sesuatu peraturan telah digubal dan sedang beroperasi, seperti kita saat ini membantah beberapa peraturan yang ada (Akta Penerbitan & Mesin Cetak, Akta Universiti & Kolej Universiti, OSA atau ISA – sekadar menyebut beberapa contoh popular). Rakyat, sebagai kelompok yang lemah, sentiasa harus diberi ruang untuk menegur atau menyuarakan kritik terhadap negara (yang memiliki kuasa besar).

Tetapi saya syak, kita tidak akan dibenarkan menentang pelaksanaan hudud, kononnya menentang undang-undang Islam boleh dianggap ‘murtad.’ Orang yang menentang enakmen hudud boleh dikenakan hukuman pula. Kediktatoran agama akan bermula di sini. Tersembunyi di sebalik tafsir agama PAS itu – nilai, tujuan, jalan dan penghayatan yang tidak demokratik. Di sini, saya tidak sejalan dengan PAS dalam memahami agama dan demokrasi.

Kepentingan elit
Bagi saya, untungnya model demokrasi, jika berjalan dengan baik, ia membenarkan ‘semak dan imbang’, menggalakkan pluralisme dan merangsang terus-menerus penyertaan ramai. Demokrasi, pada teorinya, cuba sentiasa menyoal siasat kekuasaan. Kuasa dilihat sebagai korup dan cenderung korup. Kepentingan elit berkuasa sangat berbahaya kepada kesejahteraan masyarakat yang diperintah. Beginilah model demokrasi (dan nilai demokratik) melihat kuasa dan segala instrumen kekuasaan, termasuk undang-undang.

Dengan kata seorang tokoh pemikir liberalisme (saya lupa namanya tetapi ada petikannya di sebuah buku yang diedarkan oleh yayasan Friedrich Naumann Stiftung (FNS) di Kuala Lumpur), “negara itu keburukan yang tidak terelakkan” (the state is necessary evil). Di bawah model demokrasi, kuasa diharapkan menjadi terpecah-pecah, tidak memusat pada seseorang atau sesuatu kelompok elit. Tetapi itu hanyalah impian terunggul demokrasi sebagai satu model kekuasaan.

Demokrasi sendiri juga mudah terdedah kepada manipulasi oleh penguasa dan pembangkang, sama sahaja dengan ‘negara Islam’ atau ‘pelaksanaan syariah’. Tidak ada jaminan ia tidak diperkudakan oleh manusia (kerajaan Islam). Kekuatan demokrasi hanya dapat dipertahankan jika kita dapat memberdayakan rakyat atau masyarakat sivil. Rakyat yang celik politik, berfikiran kritis dan mempunyai saluran untuk bersuara. Hal ini tidak berlaku sekarang di negara kita kerana sebab yang sama-sama kita fahami.

Maksudnya, demokrasi itu membudaya dalam masyarakat umum sehingga ibu bapa, guru, birokrat, teknokrat dan ahli politik berasa malu lagi ‘berdosa’ untuk tidak menghayati nilai demokratik. Kelihatan nada saya ini semacam ‘unggul’ atau ‘khayalan’ tetapi sedikit sebanyak demokrasi ini telah berjaya ditegakkan di beberapa negara (tetapi tentunya tidak sempurna). Demokrasi memang bermula pada premis ‘ketidak-sempurnaan’ ini dan meletakkan prosesnya sebagai perjuangan yang berterusan dan tanpa selesai.

Tentang demokrasi, saya telah menghuraikan hal ini pada hujung artikel berjudul ‘Kritik agama untuk Islam sivil’ (lima siri) di lamanweb Ummahonline.com
Tetapi persoalan kerajaan PAS itu, dalam konteks pelaksanaan enakmen hudud, sangat bergantung pada keterbatasan kuasa pada kerajaan negeri. Kononnya, penguatkuasaan jenayah ada pada kerajaan pusat sahaja, sementara kerajaan negeri (dalam hal-ehwal agama) mempunyai kuasa terbatas. Hal itu terpulanglah pada PAS sendiri, sama ada ingin mencabar penafsiran ini di mahkamah, mengajak rakyat ke jalan raya (saya tidak ada apa-apa masalah dengan demonstrasi) atau meneruskan dakwahnya.

Menjual idea
Saya tidak pernah berhalangan dengan usaha PAS Wilayah Persekutuan yang melancarkan dakwahnya di Bukit Bintang dan Bangsar baru-baru ini tetapi sentiasa akan mengecam nada-nada seumpama Salahuddin Ayub dan laporan-laporan polis seperti PAS di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. PAS Wilayah mengambil langkah bersaing (menjual idea dalam pasaran idea) tetapi PAS di tempat-tempat lain itu menganggap bersuara itu sendiri satu jenayah – nilai inilah yang saya bantah dengan tegas.

Nilai seumpama inilah yang Kami (Kumpulan Aktivis Media Independen) tentang habis-habisan, bukan sahaja kepada wartawan, tetapi juga kepada aktivis NGO, mahasiswa dan ahli-ahli politik. Nilai inilah yang menjadikan demokrasi kita itu ‘padang permainan yang tidak sama rata’! Apakah APB, Salahuddin dan PAS umumnya itu tidak (mahu?) faham? Ini persoalan yang paling fundamental!

Dipendekkan cerita, saya kini menfokuskan penelitian dan perbahasan bagaimana suasana tidak demokratik di negara kita sejak dulu – termasuk tradisionalisme, konservatisme dan feudalisme Melayu – telah menguasai akal bawah sedar, jiwa, bahasa, gelagat dan tindakan kita bersama. Ia telah membudaya. Hal yang sama saya nampak pada PAS dan budaya politik kita, yang turut merebak pada aktivis mahasiswa, seniman, wartawan, cendekiawan dan ulama kita.
Bagi saya, Islam di negara kita ialah ‘Islam Melayu’ dan ‘Islam Malaysia’, maksudnya agama yang telah berjaya diresapi unsur-unsur buruk suasana tradisionalisme, konservatisme, feudalisme dan tidak demokratik yang telah lama berkembang. Kita tidak memahaminya, sebab itu kita membantahnya. Kita akan temui jenis-jenis Islam yang berbeza-beza, bergantung pada jenis budaya penerima, misalnya di Indonesia dan Iran.

Jelas kelihatan pengalaman dan dinamika ‘Islam’ di negara kita dengan negara jiran kita itu. Pengalaman beragama tidak tunggal dan tidak mutlak tetapi sangat kontekstual dan nisbi. Tetapi aktivis Islam di negara ini enggan mengiktirafnya. Mereka sentiasa percaya pada kemutlakan wahyu tanpa mengiktiraf adanya kenisbian penghayatan agama pada diri manusia (individu), kelompok, masyarakat dan negara.
APB menyimpulkan: “PAS adalah pihak yang tertekan dan ditekan. Mereka dikunci mulut, diikat kakitangan. Justeru itu, tidak adil untuk menghukum PAS dalam situasi begitu”. Kemudian dia bercakap tentang bom dan Palestin dengan nada kecewa dan patah hati.

Tidak bersungguh-sungguh
Tenang kawan, kita belum sampai di peringkat itu dan malah, banyak jalan yang belum diterokai. Malah, jika sudah diterokai, mungkin belum sungguh-sungguh.
Dalam al-Quran, ada kecaman terhadap orang yang berpura-pura beralasan tidak mampu berhijrah ke Madinah, dan mahu terus tinggal di Mekah, dengan kata mereka kaum mustadh’afin (kaum tertindas) tetapi Allah mengecamnya kerana pada hakikatnya mereka tidak sungguh-sungguh berusaha melepaskannya diri mereka daripada belitan hidup di kota Mekah.

Al-Quran menganggap mereka itulah yang menzalimi diri mereka sendiri; mereka bukanlah mustadh’afin. Jadi janganlah mudah-mudah berlagak ‘tertekan dan ditekan’ tanpa banyak memuhasabah gerak politik kita (aktivis dan pembangkang) sendiri – sama ada sudah serius atau masih banyak yang main-main.

Jawapan APB ini, dalam konteks wacananya dengan saya, seolah-olah ingin membayangkan bahawa suasana tidak demokratik itu ‘wajar’ dijawab dengan mengamalkan sejenis taktik tidak demokratik yang lain. Sering aktivis Reformasi dan pemimpin BA (yang saya selalu berhujah sejak 1998) menyebut ‘padang permainan yang tidak sama rata’ dengan maksud tersiratnya begini.

Pandangan seumpama ini, pada saya, akan menjerumuskan kita semua dalam pusaran ganas
jiwa, nilai hidup dan taktik tidak demokrasi. Oleh itu, semakin sukarlah kita semua melepaskan diri daripada cengkaman yang ada.

BN dan Umno, dibimbangkan, akan digantikan dengan parti baru yang sama atau lebih tidak demokratik. Fokus saya, mengingatkan akan ‘kemungkinan buruk’ ini.
Tetapi sulitnya berhujah dengan PAS dan aktivis-aktivis Islam umumnya ialah kedangkalan kefahaman mereka tentang demokrasi itu sendiri. Dalam artikel lepas, sya menyarankan agar kedangkalan ini harus diatasi dan menjadi tanggungjawab mereka yang berpendidikan bukan ulama memberi fokus yang serius dalam isu-isu yang saya bangkitkan terdahulu.
Dalam al-Quran ada seruan agar ‘tidaklah wajar semua orang Islam itu semuanya keluar berperang, sebilangannya harus menimba pengetahuan agar mereka yang berperang itu (apabila selesai dari medan) pulang dan mempelajarinya.’
Dalam konteks hari ini (pada kefahaman saya), janganlah semua orang berlagak dan berjiwa seperti seorang ahli politik dan aktivis. Harus ada sekelompok orang yang tajam lagi bernas kesarjanaan mereka; dari sinilah persoalan kontemporari dapat dibahas dengan lebih luas, rasional dan tenang.

NOTA: Kerana keterbatasan ruang, artikel ini tidaklah menjawab satu persatu inti perhujahan ‘Ahli PAS Bangsar’ tersebut tetapi sekadar meletakkan perspektif umum yang menjadi tema utama penulis kolum ini. Mungkin di kesempatan lain, isu-isu berbangkit tersebut boleh dibincangkan lagi.

0 Comments:

Word of the Day

Article of the Day

This Day in History

Today's Birthday

In the News